Multi Language [EN] | [MY]
Peta Laman
Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Majlis Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 Bertemakan "Cahaya Madani,Sinar Perpaduan"

3 mins
·

SIARAN MEDIA

MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI MADANI 2025 BERTEMAKAN “CAHAYA MADANI, SINAR PERPADUAN”

PUTRAJAYA, 13 OKTOBER 2025 – Kementerian Digital dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara akan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 pada 18 Oktober 2025 (Sabtu) bermula jam 10.30 pagi sehingga jam 2.00 petang bertempat di Lot F, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Majlis ini bakal diserikan dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bersama YB Gobind Singh Deo, Menteri Digital. Majlis ini juga menyasarkan kehadiran lebih 5,000 orang pengunjung yang terdiri daripada warga kementerian, rakan industri, komuniti setempat serta masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Dengan tema “Cahaya MADANI, Sinar Perpaduan”, majlis ini membawa mesej bahawa cahaya bukan sahaja simbol utama perayaan Deepavali, tetapi juga melambangkan pencerahan, harapan, dan perpaduan rakyat Malaysia dalam kerangka Malaysia MADANI.

• “Cahaya MADANI” merujuk kepada nilai-nilai utama Malaysia MADANI yang berteraskan ihsan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

• “Sinar Perpaduan” pula menggambarkan hasil daripada cahaya tersebut iaitu sebuah masyarakat yang bersatu padu, harmoni dan saling menghormati.

Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan menyemarakkan semangat Malaysia MADANI melalui pendekatan yang inklusif dan penuh makna. Ia menjadi platform untuk memupuk perpaduan, saling menghormati dan memperkukuh keharmonian antara kaum dan agama, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membina masyarakat bersatu dalam kepelbagaian.

Sambutan Rumah Terbuka Deepavali telah menjadi amalan tradisi di peringkat nasional dan institusi kerajaan sebagai lambang kemajmukan serta keharmonian rakyat Malaysia. Tahun ini, Kementerian Digital mengambil inisiatif untuk menjadikan majlis ini wadah memperkukuh hubungan antara warga kementerian, pemegang taruh industri digital dan komuniti setempat, selain memupuk semangat kebersamaan dalam suasana perayaan.

Majlis ini juga akan menampilkan elemen budaya masyarakat India seperti hidangan tradisional, persembahan seni dan tarian kebudayaan yang dapat dikongsi bersama oleh semua lapisan masyarakat, mencerminkan keindahan warisan dan nilai MADANI yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Orang ramai dialu-alukan hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 ini. Ayuh bersama-sama menyemarakkan semangat perpaduan dan menikmati keindahan kepelbagaian budaya Malaysia dalam suasana penuh cahaya, harapan dan keharmonian.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Kementerian Digital, Malaysia


13102025_SIARAN MEDIA_MAJLIS RUMAH TERBUKA DEEPAVALI MADANI 2025 BERTEMAKAN “CAHAYA MADANI, SINAR PERPADUAN”.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025